Kisah Genevieve

Bekas Miss Malaysia, Genevieve Sambhi hanya baru berusia 35 tahun ketika dia menerima berita buruk: dia menghidap kanser serviks. Namun, dia kini sembuh, hasil daripada langkah pengesanan awal.

“Saya masih muda, saya telah bersama suami saya sejak saya berusia 20 tahun. Saya mempunyai 2 orang anak yang masih kecil, saya tidak merokok, hanya minum minuman beralkohol secara sederhana, dan saya kerap bersenam. Jika ia boleh berlaku kepada saya, ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.”

“Nama saya Genevieve Sambhi dan saya telah menjadi model di Malaysia selama hampir 30 tahun. Apabila saya didiagnosis dengan kanser serviks pada usia 35 tahun, saya melalui tujuh bulan yang paling sukar dalam hidup saya. Saya bersumpah bahawa jika saya berjaya menempuhnya, saya akan melakukan yang terbaik untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang mengerikan ini. Jadi, ini adalah saya. Sebelum saya teruskan, adakah semua orang tahu di mana serviks (bahagian badan yang terjejas oleh kanser serviks)? Secara jujur, anda akan terkejut betapa ramai yang tidak tahu. Tanggapan biasa yang saya dapat apabila saya bertanya kepada orang ramai adalah "malunya ... tidak mahu bercakap mengenainya!" Sebenarnya, ia adalah sebahagian daripada sistem pembiakan wanita, atau sepertimana seseorang yang pernah berkata kepada saya, "sesuatu di bawah sana!" Saya masih ingat dengan jelas pada hari di mana hidup saya hancur berderai. Saya sedang memberikan makanan kepada Isabella, anak perempuan saya yang berusia 4 tahun dan anak lelaki saya Alexander yang berusia 15 bulan. Telefon berbunyi - ia adalah bapa saya, yang juga pakar sakit puan. Dua hari sebelum itu, saya telah membuat ujian Pap smear tahunan saya. Pada waktu itu, bapa saya menjelaskan bahawa keputusannya tidak normal dan lebih banyak ujian diperlukan. Saya berada dalam keadaan terkejut kerana fikiran ligat berputar dalam kepala saya. Adakah saya menghidap kanser? Adakah saya akan mati? Keesokan harinya, saya mendapat biopsi kon (apabila bentuk kon dipotong daripada serviks) dan dua hari kemudian, saya dimasukkan ke Hospital Universiti untuk pembedahan kecil. Semuanya kelihatan terkawal, sehingga saya mengalami pendarahan serius 10 hari kemudian, dan dihantar semula ke hospital dengan ambulans. Beberapa jam kemudian, ketika saya berbaring di hospital, saya berdepan dengan kejutan yang seterusnya: Kanser telah merebak dan histerektomi tidak dapat dielakkan. Saya cuba merayu dengan doktor agar membenarkan saya untuk mempunyai seorang lagi anak terlebih dahulu. Saya berasa marah. Kenapa saya? Saya terlalu muda untuk kehilangan rahim saya dan tidak dapat menerima hakikat ini. Beberapa hari kemudian saya bangun dengan rasa tenang dan sedar betapa bertuah saya sebenarnya. Saya mempunyai dua orang anak, suami, Paul, yang menyayangi saya, dan saya perlu berada di sini untuk mereka. Saya akhirnya menerima hakikat bahawa saya menghidap kanser. Seminggu sebelum menjalani histerektomi, saya telah membuat ultrasound rutin, dan ketika inilah mereka menjumpai jisim di dalam serviks saya. Saya masih ingat doktor dan ayah saya berbisik - ternyata saya memerlukan histerektomi radikal. Ini bermakna mereka akan mengeluarkan semua kawasan sekitar serviks dan nodus limfa serta rahim. Ini pembedahan yang sering diterangkan oleh doktor sebagai 'raja pembedahan'. Saya duduk bersama suami dan sepupu saya beberapa jam sebelum pembedahan. Kami semua terkejut. Saya sangat takut kerana saya benar-benar percaya bahawa saya tidak akan hidup selepas pembedahan diselesaikan. Pembedahan saya mengambil masa yang sangat lama. Apabila saya membuka mata saya enam jam kemudian, saya disambut oleh senyuman manis anak perempuan saya. "Hi mummy!" Itulah imej yang akan kekal dengan saya selama-lamanya. Satu kelegaan - saya telah berjaya! Pembedahan itu sangat menyakitkan, tetapi mengetahui bahawa saya selamat, dengan keluarga di sisi saya, membuat segala-galanya dapat ditanggung. Saya pulang ke rumah selepas seminggu, tetapi kejutan saya berikutnya muncul hanya 10 hari kemudian apabila keputusan pembedahan menunjukkan bahawa kanser telah merebak dan saya memerlukan rawatan kemoterapi dan radiasi. Saya tidak berapa pasti sebanyak mana saya mampu menjalani rawatan itu. Sifat agresif kanser itu mengejutkan doktor-doktor saya; kanser ini biasanya mengambil masa 5-10 tahun untuk mencapai peringkat yang saya alami pada waktu itu, tapi dalam kes saya, ia cuma kurang dari setahun. Saya memulakan rawatan kemoterapi dan radiasi beberapa minggu kemudian dan ini merupakan masa yang paling sukar. Saya alami muntah-muntah yang teruk, cirit-birit dan sensasi terbakar pada kulit (akibat radiasi) yang tidak tertanggung. Apa yang menjadikan saya kuat adalah keinginan saya untuk menjalani kehidupan yang normal semula dengan anak-anak saya. Saya teruskan, apabila saya boleh, menghantar mereka ke sekolah dan menjaga mereka di rumah. Anak perempuan saya duduk bersama saya pada sebelah petang ketika saya letih, dia akan memberitahu saya "tidur mumi, saya di sini sekarang!" Ketika saya muntah, dia akan mengusap rambut saya dan memberitahu saya segala-galanya akan menjadi baik. Anak berumur empat tahun tidak seharusnya melihat ibunya dalam keadaan seperti ini, tetapi dia mahu bersama saya.

"Saya berasal dari keluarga dengan latar belakang perubatan - ayah saya seorang pakar sakit puan dan ibu saya seorang jururawat - tetapi saya tidak tahu mengenai kanser serviks.”

Adik-beradik lelaki dan kawan-kawan saya melawat saya di hospital. Bilangan orang yang menelefon ibu bapa saya dan menghantar makanan serta mengirimkan ucapan sayang mengejutkan saya. Kontraktor ibu bapa saya menyediakan sup herbal Cina untuk saya, dan seorang kawan, yang telah mendapat tahu bahawa herba Jepun baik untuk diminum semasa kemoterapi, menghantarnya dari Jepun! Kekuatan saya datang dari Isabella, Alexander, Paul dan seluruh keluarga saya. Saya dapat mengharunginya. Dan kemudian semuanya berakhir. Saya bersumpah untuk melakukan sesuatu. Saya berasal dari keluarga perubatan dan saya tidak tahu mengenai kanser serviks. Sekiranya saya tidak tahu, apakah peluang wanita lain? Tiada wanita yang sepatutnya mengalami apa yang saya alami. Saya diberi peluang kedua, dan saya berasa ia adalah tugas saya untuk memberitahu orang lain mengenai kanser serviks dan membina kesedaran mengenai Pap smear dan vaksinasi. Saya berasa bahawa jika saya tidak pergi membuat Pap smear, kanser saya tidak akan dapat dikesan, dan saya tidak akan berada di sini hari ini. Dengan menyebarkan kesedaran, kita dapat menamatkan stigma yang dikaitkan dengan kanser serviks dan mendidik semua wanita, anak perempuan dan juga suami, saudara, bapa dan rakan-rakan. Apabila Isabella sudah dewasa, dia akan diberikan vaksin supaya saya dapat memastikan segala-galanya dalam kuasa saya untuk melindunginya daripada penyakit yang dahsyat ini.

HPV DAN KANSER SERVIKS

HPV menyebabkan 99% kes kanser serviks. Kanser serviks adalah kanser kedua paling lazim di kalangan wanita Malaysia yang berusia di antara 15-44 tahun. Setiap hari, lima kes baru kanser serviks didiagnosis, dan dua wanita tewas dalam perjuangan menentang penyakit ini.

KISAH LAIN

KISAH MICHELLE

Adalah amat sukar bagi Michelle berkongsi kisahnya. Namun, dia menyesal tidak melakukannya lebih awal.




KISAH SOH HOOI

Seorang pereka dalaman dan peminat marathon, Soh Hooi sering melakukan pemeriksaan Pap Smear secara berkala. Amaran yang diterima hanyalah pendarahan diantara pusingan haidnya sebelum beliau didiagnosis menghidapi kanser serviks. Kini, kekuatan dan pemikiran yang positif membantu Soh Hooi untuk sembuh dari kanser.

ANDA BOLEH MELINDUNGI DIRI ANDA

Jangkitan HPV adalah sangat lazim dari apa yang anda fikirkan. Berita baiknya adalah, terdapat dua langkah mudah untuk melindungi diri anda.

DAPATKAN NASIHAT DOKTOR

Ianya mungkin agak sukar untuk memulakan perbincangan mengenai perkara ini. Ketahui soalan-soalan yang boleh anda ajukan semasa sesi temujanji bersama doktor anda.

ATURKAN TEMUJANJI ANDA

Ketahui lokasi klinik berhampiran anda dan aturkan sesi temujanji bersama doktor anda untuk berbincang mengenai vaksinasi dan saringan.